Sekarang ini ramai betul antara kita yang menggemari kisah-kisah seram. Kepercayaan kepada kejadian-kejadian seram dan menakutkan ini seperti sudah kembali semula menular di kalangan masyarakat. Dengan kesempatan ini jugalah, ingin saya paparkan beberapa kisah-kisah yang pernah saya alami sendiri dan saya dengari dari mereka di sekeliling saya..
Untuk kali pertama ini saya ingin bercerita tentang kisah yag berlaku sewaktu saya kanak-kanak dulu..
".. Apabila setiap kali cuti sekolah bermula, sepupu-sepupu dari kampung akan datang ke Kuala Lumpur dan tinggal bersama-sama kami sepanjang cuti persekolah tersebut. Pada waktu itu, saya tinggal di Kampung Datuk Keramat. Pada sekitar tahun 60 an dan awal 70 an Kampung Datuk Keramat memang betul-betul sebuah kampung. Di rumah kami tidak ada bekalan letrik. Apabila waktu malam kami gunakan pelita.
Selepas makan malam, biasanya aktiviti kami ialah mendengar cerita dari emak saya atau kami bercerita sesama sendiri. Pada satu malam, selepas selesai makan malam, saya dan sepupu-sepupu yang lain telah bercadang untuk bermain kejar-kejar di dalam rumah kami yang agak kecil itu, dan mempunyai satu bilik tidur saja.
Di dalam bilik tidur itu agak gelap kerana tidak diletakkan pelita. Cahaya yang ada cumalah sedikit cahaya pelita yang agak suram yang datang dari luar bilik. Di dinding bilik menghadap katil, terdapat sebuah kerusi rotan kecil, yang ayah saya letakkan di atas palang di bahagian hadapan basikal sekiranya dia membawa saya bersama apabila menunggang basikal itu. Pada waktu itu, ramai orang menggunakan basikal sebagai kenderaan. Oleh kerana saya sudah agak besar pada waktu itu, kerusi rotan itu tidak digunakan lagi, dan digantung saja di dinding.
Malam itu kami bermain dengan riang sekali, berlumba-lumba berlari keluar masuk bilik dan ketawa terkekeh-kekeh. Sampai di bilik ada yang berkelubung dalam selimut berlakun sebagai hantu dan menakut-nakutkan yang lain. Yang lain pulak berlari sambil menjerit-jerit dan ketawa. Oleh kerana terlalu banyak berlari dan ketawa, saya kepenatan. Banyak kali saya asyik tertinggal di belakang dan saya lah orang yang terakhir sekali keluar dari bilik.
Akhir sekali, saya ingat saya terbaring atas katil dan susah untuk bangun. Sepupu-sepupu yang lain sudah pun keluar dari bilik yang agak suram itu. Saya dah tak berdaya untuk mengejar mereka. Mereka pun mungkin penat berlari. Jadi mereka tidak masuk semula ke bilik. Semua sudah keletihan dan berhenti bermain.
Sewaktu saya sedang hendak bangun dari katil, saya terpandang ke arah kerusi rotan yang tersangkut di dinding bilik. Di dalam kesuraman cahaya pelita dari luar bilik, saya nampak seorang budak yang berkulit hitam dan berkepala botak duduk sambil memerhatikan saya. Kalau tak silap saya, matanya merah. Saya pun tertanya-tanya di dalam hati.. kenapa budak itu boleh ada di situ. Mula-mula saya tidak takut kerana konsep "hantu" belum saya fahami lagi pada ketika itu. Sebelum itu, saya cuma mendengar cerita-cerita hantu tapi tak pernah melihatnya dengan mata kepala sendiri. Selepas beberapa saat baru lah saya rasa seram. Saya pun bingkas bangun untuk lari keluar.
Saya sendiri tidak tahu siapakah budak itu, sehinggalah saya mendengar orang bercerita tentang toyol. Gambaran yang diberikan terhadap toyol itu sama seperti budak yang saya lihat duduk di atas kerusi itu. Mungkin kah dia toyol? Mungkin dia hendak ikut kami bermain bersama-sama agaknya.. Tapi tak berani sebab dia tidak seperti kami. Jadi dia cuma melihat saja..
Walau bagaimana pun, saya tidak pernah mengadu atau menceritakan kisah ini kepada sesiapa pun. Mungkin pada masa itu perkara-perkara begitu sukar untuk di percayai oleh orang lain. Jadi saya diamkan saja sebab takut ditertawakan..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment